Ahad, 4 Mei 2014

Selamat bersua kembali...Insya-Allah...blog ini akan dikemas kini semula setelah sekian lama dibiarkan sunyi...

Ahad, 21 April 2013


keberanian yang sebenar ibarat layang-layang. Sentakan angin yang menentangnya bukan melemparkannya ke bawah, sebaliknya menaikkannya ke tempat yang lebih tinggi.

Isnin, 15 April 2013

Soalan : Apakah terjemahan tepat kepada istilah "Facebook"? 

Jawapan :Perkataan Facebook dikekalkan penggunaannya dalam bahasa Melayu kerana Facebook merupakan kata nama khas, sama seperti Internet.Tidak perlu penggunaan sebarang tanda baca dalam penulisan Facebook.

PESTA BUKU ANTARABANGSA 2013


PESTA BUKU ANTARABANGSA KEMBALI LAGI....

Mari Kita Berbahasa dengan Sebaiknya


Tertarik dengan sajak 'Bahasa' tulisan Rahman Shaari. Lewat sajak ini penyair mengangkat isu bahasa dan peranannya  dalam kehidupan manusia. Pada saya sajak 'Bahasa' ini merupakan luahan perasaan dan pendirian penyair terhadap isu bahasa.

Penyair mengimbau pembaca supaya menilai peranan bahasa di dalam kehidupan manusia. Bahasa bukan sahaja menjadi pengatur fikiran, pelentur perasaan, penyuluh ilmu pengetahuan tetapi  juga berupaya untuk menyatukan manusia dalam satu kesatuan. Oleh sebab keupayaannya untuk memainkan pelbagai peranan maka kita harus 'berbahasa sebaiknya'.

Antara peranan bahasa adalah menjadi:

1.  Pengatur pucuk fikiran yang bertabur
Manusia merupakan makhluk yang berakal. Dengan akal dia berfirkir. Bermacam-macam idea atau 'pucuk fikiran' yang akan bercambah atau singgah di benak kepalanya. Idea-idea yang berlegar di alam pemikirannya akan dicerna untuk kemudian diungkapkannya. Bagaimanakah dia menyatakan idea-idea tersebut? Sudah tentu dengan bahasa dan dengan cara yang sudah ditetapkan. Beradab dan berbudaya.

Pucuk yang bercambah segar
2.   Pelentur ranting perasaan yang bersiur
Manusia memiliki perasaan. Di samping akal, perasaan juga menjadi pendorong yang kuat kepada segala tindak-tanduknya. Manusia boleh berada dalam keadaan yang tenang dan ketenangan ini akan tergambar dalam segala tindakannya. Dia juga boleh terperangkap dalam keadaan yang tidak mententeramkan atau  'ranting perasaan yang bersiur' dan keresahan ini boleh juga terlihat pada tindakannya yang mampu mengharu-birukan.
Ranting yang bersimpang-siur

3.   Penyuluh ilmu pengetahuan
Bahasa membolehkan manusia untuk mengenali ilmu. Ilmu berada di mana-mana sahaja. Tetapi bahasa merupakan kuncinya. Lewat bahasa kita meneroka dan mendalami ilmu. Menurut penyair hanya "dengan bahasa terlihat fakta padu, terlihat sinar ilmu, terlihat cinta biru."
Biru pada langit yang merentang luas
4.  Penentu arah dalam pentas siasah
Manusia hidup dengan aspirasi tertentu. Dalam sesuatu masyarakat aspirasi ini pada umumnya akan diarahkan oleh golongan pemimpin. Pemimpin bergiat di pentas politik dan arah negara akan terungkap di dalam agenda perjuangan mereka. Dengan kata lain pemimpin 'memaparkan arah'.

5.  Pembentuk budi yang tinggi
Melalui bahasa manusia membina budi. Budi yang mencakupi pekerti, akhlak dan kebijaksanaan berupaya mewarnai sesuatu budaya. Oleh itu membina  budi yang tinggi harus menjadi keutamaan dan ini tidak dapat dipisahkan dengan menggunakan bahasa dengan sebaiknya.

Bagaimana pula dengan kekuatan bahasa dalam sajak 'Bahasa'?

Satu unsur bahasa yang digunakan penyair dengan berkesan ialah unsur metafora. Metafora seperti 'pucuk fikiran', 'ranting perasaan' dan 'cinta biru' bukan sahaja mengindahkan sajak ini tetapi memberi sajak ini beberapa lapisan makna. Di situlah terletaknya kekuatan bahasa sajak 'Bahasa'. Bagaimana pula pandangan pelajar semua?